Isnin, 9 Februari 2009

Apa Berlaku Pada 14 Februari?

Pertempuran Bukit Chandu
Pertempuran Bukit Chandu (14 Februari 1942) merupakan salah satu pertempuran hebat yang berlaku dalam sejarah Singapura semasa Perang Dunia Kedua. Pertempuran ini merupakan lanjutan kepada Pertempuran Pasir Panjang yang berlaku sehari sebelumnya. Pertempuran ini dikenang kerana keperiwiraan askar Melayu, yang dipimpin oleh Leftenan Muda Adnan bin Saidi, yang menentang askar Jepun hingga ke penghujung nyawa. Untuk memperingati Pertempuran Bukit Chandu ini, Arkib Negara Singapura telah mendirikan sebuah pusat peringatan yang dikenali sebagai Reflections at Bukit Chandu. Pusat peringatan ini terletak di Kent Ridge. Nadi telah mengunjunginya dan mempelajari tentang detik sejarah yang sungguh menyayat hati.
Bukit Chandu mendapat namanya sempena sebuah kilang memproses candu milik kerajaan British di kaki bukit ini. Sejurus selepas Pertempuran Pasir Panjang, Kompeni "C" dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu telah diarahkan untuk berundur ke kedudukan Pt. 226 di Bukit Chandu dan mempertahankannya. Sekiranya kedudukan ini jatuh ke tangan askar Jepun, mereka akan mempunyai laluan terbuka menuju Jalan Alexandra di mana terdapat depoh Tentera Inggeris, tempat simpanan peluru dan juga Hospital Alexandra Tentera Inggeris. Lt. Adanan telah mengarahkan pasukannya untuk mengepung sekeliling pangkalan mereka dengan kampit-kampit pasir.
Pada ketika itu, Askar Jepun telah menggunakan satu muslihat untuk cuba memperdaya askar-askar Melayu yang bertahan di situ. Mereka menghantar sekumpulan askar mereka yang menyamar sebagai askar Punjabi untuk cuba menghampiri kedudukan yang dipertahankan oleh Askar Melayu . Namun, anggota-anggota Kompeni "C" Askar Melayu itu menyedari muslihat ini apabila mereka melihat askar Jepun yang berpakaian seragam askar Punjabi itu berkawat dalam barisan berempat-empat dan bukannya dalam barisan bertiga-tiga seperti kelaziman pasukan Tentera Inggeris. Mereka dibiarkan hampir ke garisan pertahanan Kompeni "C" Askar Melayu sebelum dihujani peluru daripada mesingan Lewis. Serangan ini mengakibatkan askar Jepun kehilangan banyak jiwa dan ramai anggotanya yang cedera. Mereka yang terselamat telah bergolek dan terpaksa merangkak untuk turun semula ke tempat yang selamat.
Sebagai balasan, Askar Jepun melancarkan serangan habis-habisan ke atas kedudukan Askar Melayu di Bukit Chandu. Walaupun hampir kehabisan peluru dan dengan bilangan anggota yang jauh lebih sedikit berbanding bilangan askar Jepun, Askar Melayu masih terus menentang serangan askar Jepun. Mereka bertempur secara semuka dengan menggunakan bayonet, parang dan tangan untuk menghalang askar Jepun daripada menguasai kedudukan tersebut. Ramai pegawai dan anggota Askar Melayu yang menjadi korban. Lt. Adnan sendiri cedera parah, tetapi masih berdegil tidak mahu berundur dan terus memberikan tentangan hingga menyebabkan kemalangan jiwa yang besar di kalangan askar-askar Jepun. Keberanian beliau dan seruan 'biar putih tulang, jangan putih mata' membakar semangat anak-anak buahnya untuk terus berjuang.
Malangnya, bilangan askar Jepun yang terlalu ramai itu menyebabkan Askar Melayu mengalami kekalahan. Lt. Adnan telah ditangkap dan diheret oleh Askar Jepun yang menuntut bela atas anggota tentara mereka yang gugur di tangan Lt. Adnan dan Askar Melayu. Beliau diikat dan digantung di sebatang pokok lalu dibunuh berkali-kali dengan bayonet. Jenazahnya dilarang diturunkan dari pokok tersebut sebagai memberi ajaran kepada sesiapa yang cuba menentang Askar Jepun yang kemudiannya menjajah Singapura selama tiga tahun.

0 comments: